Ketua Pengarah JKDM, Datuk T. Subromaniam (gambar) berkata, beliau yakin ‘kerjasama’ itu wujud apabila mendapati terlalu banyak cukai gagal dikutip terutama di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah, Johor.

Menurutnya, pegawai dan anggota terbabit berupaya bertindak demikian kerana mengetahui kelemahan yang terdapat dalam proses dan prosedur jabatan.

“Mereka mengambil kesempatan atas kelemahan tersebut dengan ‘membantu’ pengusaha kelab malam, pusat hiburan keluarga dan karaoke daripada membayar pelbagai cukai termasuk menjual minuman keras bebas cukai.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan mereka turut menerima imbuhan atau insentif daripada pengusaha-pengusaha kelab malam tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Jelas Subromaniam, pihaknya sedang mengkaji kelemahan proses dan prosedur jabatan di bawah pengurusan risiko rasuah bagi meneliti semula kelompangan yang terdapat dalam sistem tersebut.

Katanya, langkah itu perlu diambil kerana pihaknya tidak mampu untuk membuat pemeriksaan di semua premis pusat hiburan di seluruh negara.