MOHD. TAIB AHMAD
MOHD. TAIB AHMAD

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, dalam serbuan pertama pukul 8.30 malam di sebuah rumah di Jalan Bukit Kempas 1/6, Taman Bukit Kempas, pihak­nya menahan dua lelaki dan seorang wanita.

Beliau berkata, ketika polis bertindak menghampiri wanita berkenaan, dia cuba melarikan diri ke dalam sebuah kereta jenis Nissan Almera, namun berjaya ditahan polis.

“Dua lelaki pula ber­tindak melarikan diri ke dalam kereta Proton Wira, namun turut berjaya ditahan, tetapi seorang lagi lelaki berjaya melarikan diri.

“Pemeriksaan ke atas tubuh seorang suspek lelaki berusia 48 tahun dan beg silang warna coklat yang dibawanya menjumpai sejumlah besar wang tunai dan sekeping lesen miliknya. Turut dirampas adalah barang kemas dan jam tangan daripada suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Taib berkata, pemeriksaan beg silang berwarna hitam bertulis dan berlogo Imigresen Malaysia pada suspek wanita berusia 30 tahun menemukan tiga kad keahlian, satu kad pe­ngenalan dan satu le­sen memandu milik suspek lelaki yang berjaya me­larikan diri.

Katanya, hasil semakan mendapati Proton Wira yang dinaiki dua suspek lelaki itu mendapati ada rekod hilang bersabit kes yang dilaporkan di Taman Ungku Tun Aminah di Skudai, di sini.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta dan rumah itu menemukan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah, sebuah beg galas berwarna kelabu atau hijau yang di dalamnya mengan­dungi sekeping lesen memandu atas nama seorang individu dan barangan itu bersabit kes samun berkumpulan di Kulai.

“Selain itu, turut ditemukan pelbagai jenis beg tangan dan beg duit serta mata wang China sebanyak 40 yuan,” katanya.

Menurut Mohd. Taib, semakan kad pengenalan milik ketiga-tiga suspek itu mendapati hanya suspek wanita mempunyai rekod dikehendaki berhubung kes dadah.

Susulan tangkapan tiga suspek itu, polis kemudian membuat serbuan di Kampung Kempas Baru, Tampoi di sini pukul 2.30 pagi dan menahan dua lelaki berusia 41 dan 43 tahun serta merampas sebuah kereta jenis Proton Iswara.

“Semakan mendapati suspek berusia 41 tahun mempunyai rekod dikehendaki bersabit kes dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379A KK, Seksyen 395/397 KK dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.