BUKIT MERTAJAM - Wang tunai dan dua unit telefon bimbit milik seorang pesara tentera yang dirampas d
WANG tunai dan dua unit telefon bimbit milik seorang pesara tentera yang dirampas daripada seorang suspek yang memecah masuk rumah warga emas itu di Mukim 20 Kubang Semang petang semalam. - GAMBAR IHSAN POLIS

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, suspek yang berusia 50 tahun bertindak mengumpil pintu belakang rumah selepas mangsa keluar dari rumah 20 minit sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, mangsa yang pulang dari masjid kira-kira pukul 2.40 petang menyedari rumahnya berselerak dan beberapa barangan miliknya hilang.

"Mangsa keluar ke masjid pada pukul 1 petang dan menyedari rumahnya berselerak selain dua unit telefon bimbit dan wang tunai RM200 miliknya hilang.

"Berdasarkan maklumat, polis menyerbu rumah suspek di Mengkuang Titi dan menahan lelaki itu sebelum menemukan beberapa barangan milik mangsa iaitu telefon bimbit, wang tunai RM120 dan sebuah kotak bersama dua pingat kebesaran tentera," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, polis juga menemukan dadah jenis heroin seberat 3.5 gram dari suspek yang juga positif morfin.

Jelas Nik Ros Azhan lagi, suspek kini ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE