Itu modus operandi sindiket penjenayah yang telah melakukan sekurang-kurangnya 34 kes pecah rumah di Seremban, Se­langor, Kuala Lumpur, Perak dan Johor sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, sindiket itu berjaya ditumpaskan selepas empat anggota mereka termasuk seorang wanita ditahan bersama wang tunai RM514,275 dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Kemayan Square di sini semalam.

Mereka berjaya dikesan pada pukul 4.15 petang iaitu sejam selepas memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan di Taman Merpati di sini dan melarikan wang tunai RM350,000.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, tiga daripada suspek merupakan lelaki tempatan masing-masing berusia 47, 27 dan 23 tahun manakala suspek wanita merupakan warga asing berusia 22 tahun.

Ujarnya, sindiket itu menaiki kenderaan mewah serta menggunakan kad pengenalan milik individu lain untuk melepasi kawalan keselamatan dan membunyikan loceng rumah yang disasarkan untuk memastikan rumah tersebut tidak berpenghuni sebelum memecah masuk.

“Kita percaya mereka terlibat dalam sekurang-kurangnya 11 kes pecah rumah di Seremban, lapan kes di Selangor, tiga kes di Kuala Lumpur, empat kes di Perak dan lapan kes di Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis daerah di sini hari ini.

Dalam pada itu Hock Poh memberitahu, serbuan di hotel di Kemayan Square dibuat hasil maklumat awam.

Jelasnya, pihaknya menemukan wang tunai RM206,550 di bilik penginapan mereka, RM260,000 dalam sebuah kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di hotel tersebut dan lebih RM40,000 dalam beg salah seorang suspek.

“Kita turut merampas lapan jam tangan pelbagai jenama, enam resit pembelian barang kemas, beberapa rantai, subang dan gelang, dua komputer riba dan satu dron warna hitam bersama alat kawalan jauh di bilik hotel itu.

“Toyota Velfire dan dua buah kereta jenis Honda City serta peralatan pecah rumah, beberapa nombor pendaftaran kende­raan, kad pengenalan dan lesen memandu atas nama individu lain turut dirampas daripada suspek,” katanya.

Tambah Hock Poh, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 November ini bagi membantu siasatan.