Remaja berusia 19 tahun yang dipanggil ‘Adik’ itu yang mempunyai empat rekod jenayah lampau ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam atas kesalahan melakukan pecah kereta di kawasan meletak kereta di sebuah pasar raya di Bukit Tinggi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, bertindak atas video kejadian yang tular, pihaknya telah menjalankan siasatan dan berjaya menahan dua individu di sekitar Bukit Tinggi.

Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kira-kira pukul 2.30 pagi dan menahan individu berusia 33 tahun dikenali sebagai ‘Burung’ yang mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Jelasnya, tangkapan kedua pula dilakukan pada pukul 12 tengah hari pada hari yang sama, dengan menahan seorang lagi remaja di sekitar kawasan Bukit Tinggi. 


“Siasatan awal mendapati, kenderaan tersebut tidak dikunci dan mereka mengambil beg yang mempunyai kasut kanak-kanak sahaja. Selain itu, kedua-dua individu ini mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah.

“Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua individu ini terlibat dengan kes pecah kereta sejak sebulan yang lalu. Malah, kedua-dua mereka mengaku terlibat dengan kes pecah cermin kereta dan curi barang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 37 saat tular di laman sosial di mana salah seorang suspek telah bertindak memecah masuk sebuah kereta jenis Perodua Kancil sebelum melarikan sebuah beg.-UTUSAN ONLINE