Ketua kumpulan tersebut yang digelar Apeng berusia 25 tahun dan anak buahnya, 23 tahun ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Pasukan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dalam dua serbuan berasingan yang dibuat pada Disember serta Jumaat minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, suspek pertama berusia 23 tahun ditahan di sekitar bandar ini pada 20 Disember lalu.

Katanya, susulan penahanan suspek pertama, polis berjaya mengesan dan menahan Apeng yang berusia 25 tahun di Lorong Huda, Jalan Sultan Yahya Petra, Lundang, di sini pada pukul 6.20 petang, 4 Januari lalu.

“Berdasarkan siasatan, kumpulan ini bergerak menaiki motosikal dengan modus operandinya menyasarkan sebarang jenis kenderaan yang diletakkan di tempat sunyi.

“Mereka menggunakan palam pencucuh dibalut kain sebagai alat untuk memecahkan cermin kereta dalam keadaan senyap sebelum mencuri barang berharga di dalamnya,” katanya dalam sidang akhbar, disini hari ini.

Beliau dalam pada itu memberitahu, serbuan kedua juga berjaya menemukan puluhan barangan termasuk beg tangan dan sandang pelbagai jenama, aksesori kereta serta telefon bimbit.

“Suspek yang berusia 23 tahun sudah dituduh di mahkamah manakala Apeng pula direman sehingga esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Hasanuddin juga tidak menolak kemungkinan masih terdapat saki-baki anggota geng tersebut yang masih bebas dan polis sedang giat menjalankan gerakan memburu mereka. - UTUSAN ONLINE