Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran itu membabitkan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman.

Menurut beliau, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md. Isa pula dilantik sebagai Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman.

Tambah beliau, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman pula akan menggantikan Tajuddin sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

“Turut bertukar ialah Timbalan Pesuruhjaya Sabah, Datuk Omar Mammah sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memangku pangkat Komisioner.

“Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Azisman Alias akan bertukar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Asmawati memberitahu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Sharul Othman Mansor pula akan bertukar dengan memegang jawatan sebagai Senior Asisten Komisioner, Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Tambahnya, Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana, Maktab PDRM, Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Mushar Mohd. pula akan menggantikan Azisman sebagai Ketua Polis Perlis.

Menurut beliau, jawatan Mushar akan disandang oleh Ketua Penolong Pengarah, Urusetia Bahagian Kepolisan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Asisten Komisioner Norizan Murad dengan memangku pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner.

“Pengumuman ini juga melibatkan pegawai kanan lain iaitu Ketua Jabatan Pengurusan Perlis, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan.

“Turut ditukar iaitu Deputi Superintenden (D6C) Unit Fotografi, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Deputi Superintenden Aidi Sham Mohamed sebagai Ketua Polis Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan dengan memangku pangkat Superintenden,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE