GAMBAR yang tular di media sosial memaparkan seorang anggota polis menaiki kereta peronda memegang tangan seorang wanita dipercayai pelacur di Segamat, Johor, kelmarin. FACEBOOK

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Kha­lil Kader Mohd. berkata, bagaimanapun beberapa siri rakaman video yang tular melibatkan pegawai dan anggota polis di negeri ini telah mencemar integriti pasukan keselamatan tersebut.

“Tindakan awal sudah diambil terhadap semua yang terlibat termasuk dipindahkan dan ditukar jabatan ma­nakala tindakan susulan akan dibuat selepas siasatan tatatertib tamat.

“Masyarakat perlu faham, tindakan yang dikenakan adalah mengikut prosedur dan hukuman setimpal akan dikenakan bersesuaian dengan kesa­lahan dilakukan,” katanya mengulas rakaman video yang tular menunjukkan tujuh anggota polis didakwa berhibur di sebuah pusat hiburan di Muar dan sekeping gambar memperlihatkan seorang anggota rondaan memegang tangan seorang wanita berpakaian seksi baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad.

Mohd. Khalil turut memberi penekanan tentang etika dan disiplin dalam kalangan pegawai dan anggota sewaktu mengadakan lawatan kerja ke IPD seluruh negeri.

“Saya amat mengambil berat soal kebajikan pegawai dan anggota tetapi ketegasan terhadap integriti itu akan turut menjadi keutamaan,” tegasnya.