Menerusi muat naik status Facebook, pendakwah bebas, Firdaus Wong turut menggesa pengurusan BFM disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengesan sekiranya terdapat unsur rasuah bagi melindungi kes jenayah dan membuatkan mangsa berdiam diri.

“Kes rogol dan serangan seksual tidak membuat laporan polis kerana pengadu tidak mahu melanjutkan perkara? Atau sebenarnya pihak BFM yang memberikan tekanan kepada mangsa untuk tidak membuat laporan polis untuk ‘cover’?

“Pihak pengurusan BFM sebelum ini mengesahkan telah menerima aduan pada Mei 2017 dan telah menjalankan siasatan serta mengambil tindakan disiplin yang tertinggi dengan menamatkan perkhidmatan pekerja yang tertuduh jadi mengapa dalam kenyataan mereka pada 1 Disember mengatakan tidak dapat mengesahkan situasi yang dirujuk?” catatnya dalam status Facebook hari ini.

Dakwa Firdaus, kenyataan yang diberikan bercanggah seakan menunjukkan pihak BFM sebenarnya tidak mahu memulakan sebarang siasatan atau mengeluarkan sebarang kenyataan sekiranya emel itu tidak tersebar.

“Mengapa setelah menerima aduan pada Mei 2017 dan pekerja tersebut telah dibuang kerja, pihak BFM tidak membuat laporan polis?

“Jika alasan adalah pengadu tidak mahu melanjutkan perkara itu, apakah BFM cuba melindungi pesalah yang memungkinkannya untuk melakukan perkara yang sama kepada orang lain di luar,” ujarnya.

Bulan lalu, tular satu emel dikatakan ditulis oleh bekas pekerja BFM yang memperincikan beberapa contoh salah laku seksual yang didakwa cuba ditutup pengurusan stesen berkenaan.

Menjawab kepada penularan emel tersebut, Pengasas BFM, Malek Ali memaklumkan telah mengambil tindakan dan dua pekerja telah diberikan surat tamat perkhidmatan atas sebab salah laku selepas lembaga pengarah mendapati wujud bukti yang mencukupi untuk mengambil tindakan.

“Pihak pengurusan BFM tidak membuat laporan polis kerana pengadu tidak mahu melanjutkan perkara itu pada masa tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE