MOHAMAD FIZU HARUN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak­nya sudah berhubung dengan pihak berkuasa Pakistan bagi mendapatkan maklumat namun pihaknya harus memberi ruang bagi pihak berkuasa negara itu menjalankan siasatan terlebih dahulu.

Katanya, keluarga suspek juga telah membuat laporan polis bagi meminta bantuan untuk membawa suspek pulang ke negara ini.

“Kalau boleh kita memang nak bawa dia balik tetapi perkara ini berlaku di negara luar, jadi kita perlu hormat undang-undang mereka.

“Setakat ini, kami masih belum pasti sama ada keluar­ganya tahu suspek ada terlibat dengan kumpulan pengganas Daesh atau tidak dan sebab pemergiannya ke Pakistan juga tidak dapat disahkan,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini me­laporkan pihak berkuasa Pakistan mematahkan cubaan seorang lelaki warga Malaysia yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Daesh untuk menyeludup keluar senjata selepas suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di Karachi, Pakistan kelmarin.

Pemuda berusia 20 itu ditahan ketika melalui pemeriksaan ke­selamatan selepas mesin pengimbas mengesan terdapat beberapa jenis senjata di dalam beg suspek dan hasil pemeriksaan menemukan empat pucuk pistol, lapan magazin dan 70 butir peluru disorok di dalam beg dan kasut suspek.

Difahamkan, dalam kejadian itu, suspek akan menaiki pesawat peribadi ke Bangkok, Thailand sebelum mengambil penerbangan pulang ke Malaysia.