Tangkapan pertama melibatkan seramai 11 orang PATI warga Myanmar pada 3 Oktober lalu manakala diikuti 11 lagi warga negara sama, pada hari ini.

Menurut Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali, kesemua mereka dipercayai memasuki negara ini untuk bekerja.

Katanya, tangkapan pertama melibatkan kerjasama Aksem negeri dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan yang kedua oleh anggotanya.

“Kedua-dua kes tangkapan dilakukan di kawasan kebun getah berhampiran kilang gula,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Aksem di Chuping di sini hari ini.

Tambah Syed Basri, siasatan awal mendapati suspek-suspek dalam tangkapan kedua yang berusia 21 hingga 38 tahun, mendakwa membayar sebanyak RM5,000 kepada sindiket untuk membawa mereka masuk ke negara ini melalui Thailand.

Katanya, suspek-suspek termasuk tiga wanita, dikatakan mengambil masa selama sehari menaiki kenderaan dari kampung halaman mereka di selatan Myanmar sebelum tiba di Danok, Thailand.

“Di Danok, mereka tinggal di sebuah kawasan selama dua hari dan dibawa oleh ejen untuk menyeludup masuk ke sempadan Kedah melalui pagar sempadan yang dirosakkan.

“Mereka kemudian dibawa berjalan kaki memasuki Perlis oleh ejen sebelum ditahan kira-kira pukul 12 tengah malam. Ejen walau bagaimanapun berjaya melarikan diri,” ujar beliau.

Menurut Syed Basri, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah.

Katanya, kesemua suspek diserahkan kepada Imigresen untuk siasatan lanjut. - UTUSAN ONLINE