Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Ahmad Adnan Basri berkata, bagi memastikan kadar kemalangan di kesemua lokasi itu dapat dikurangkan, pasukan tersebut akan mengadakan rondaan lebih kerap dan pemantauan berterusan di kawasan berkenaan.

Katanya, setiap lokasi yang membabitkan Jalan Persekutuan itu juga telah diatur anggota bagi memastikan tiada sebarang kemalangan berlaku sepanjang musim perayaan ini.

“Di setiap daerah sudah ada anggota sedia ada yang ditempatkan manakala 10 pasukan ini akan membantu mereka dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang kerap berlaku kemalangan di negeri ini.

“Sebanyak 66 lokasi panas dan hitam termasuk di daerah Gerik, Manjung, Kampar, Kerian, Muallim, Hilir Perak, Taiping dan Ipoh akan diberi perhatian sepanjang 15 hari operasi ini dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Op Bersepadu-Op Kenderaan Perdagangan sempena Op Selamat Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara di sini malam tadi.

Menurut Ahmad Adnan, operasi bermula Jumaat lalu sehingga 22 Jun ini membabitkan seramai 450 pegawai dan anggota trafik dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri.-UTUSAN ONLINE