Dalam operasi Ops Bersepadu yang turut disertai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud itu, kira-kira 150 warga asing diperiksa kerana disyaki berniaga secara haram, tidak memiliki dokumen dan menyalahgunakan pas lawatan.

Menurut Khairul Dzaimee, pihaknya juga berjaya mengenal pasti seramai 79 orang pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCR) untuk siasatan lanjut.

"Ini merupakan serbuan kali ketiga dilakukan Jabatan Imigresen sejak Januari lalu.

"Kita menfokuskan semua warga negara asing yang menjalankan perniagaan bukan sahaja di pasar borong tetapi juga di pasar harian, gerai jalanan, penjaja dan kedai runcit," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia menerusi laporan khas bersirinya sebelum ini mendedahkan golongan terbabit bukan sahaja menjadi pekerja malah ada dalam kelompok mereka sudah bergelar tauke dengan menyewa lot daripada peniaga tempatan yang mengalibabakan tapak dan lesen perniagaan masing-masing.

Operasi kali ini disertai oleh 94 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Putrajaya dan Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE