Operasi bersepadu yang turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman itu menyaksikan kira-kira 198 warga asing yang disyaki berniaga secara haram serta menyalahgunakan pas lawatan diperiksa.

Azis berkata, pemeriksaan mengejut itu dilaksanakan hasil maklumat dan rungutan orang awam yang berasa khuatir dengan keadaan pasar itu, seolah-olah telah dikuasai kelompok terbabit.

“Seramai 66 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dicekup atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Selain daripada itu, Jabatan Imigresen turut menahan 46 orang pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di pasar berkenaan hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud .

Akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia menerusi laporan khas bersirinya sebelum ini mendedahkan golongan terbabit bukan sahaja menjadi pekerja malah ada dalam kelompok mereka sudah bergelar tauke dengan menyewa lot daripada peniaga tempatan yang mengalibabakan tapak dan lesen perniagaan masing-masing.

Namun, apa yang membimbangkan, keadaan itu mendatangkan pelbagai impak khususnya kepada peniaga tempatan lain, pengguna selain petani, penternak dan nelayan. - UTUSAN ONLINE