Turut diberkas iaitu seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga merupakan bapa kepada remaja perempuan yang ditahan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil siasatan lanjut mendapati, suspek dipercayai telah melahirkan bayi perempuan berkenaan kelmarin kira-kira pukul 11.30 pagi.

Ujarnya, suspek kemudiannya dipercayai telah menutup mulut bayi berkenaan dengan tuala serta membalut badan mangsa dengan selimut sebelum dimasukkan ke dalam beg sekolah.

"Suspek kemudiannya telah memasukkan beg sekolah tersebut ke dalam plastik sampah yang diikat sebelum diletakkan di luar rumah bersama sampah lain. 

"Plastik sampah yang mengandungi bayi tersebut kemudiannya telah dibuang oleh bapa suspek ke rumah sampah di kawasan perumahan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mazlan, berikutan penemuan mayat bayi perempuan tersebut, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya bagi tujuan bedah siasat yang akan dijalankan pada hari ini.

"Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah seksyen 318 kanun keseksaan dan reman akan dilakukan terhadap bapa suspek dan teman lelakinya sehingga esok.

"Manakala, suspek remaja perempuan itu pula akan direman sehingga 11 Februari ini," jelasnya.-UTUSAN ONLINE