Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan 11 anggota polis dari Balai Polis Perai.

Katanya, semasa pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap pasangan yang masing-masing berusia 32 dan 23 tahun itu, polis menjumpai satu botol kaca yang telah diubah suai menjadi peralatan menghisap dadah.

“Turut dijumpai ialah satu beg kecil berwarna hitam yang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi hablur dadah jenis 'methampethamine'serta satu pemetik api.

“Kedua-duanya kemudian ditahan dan barang kes juga dirampas sebagai bahan bukti," katanya yang memberitahu kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kedua-dua suspek positif dadah jenis methampethamine hasil satu ujian saringan air kencing yang dijalankan.

Katanya, pasangan tersebut kini ditahan di lokap ibu pejabat polis daerah (IPD) SPT untuk siasatan lanjut.

“Semakan terhadap rekod lampau pula mendapati, suspek lelaki itu mempunyai lapan rekod kesalahan berkaitan dadah dan jenayah," ujar beliau. - UTUSAN ONLINE