Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek yang terlibat dalam beberapa siri rompakan dengan kumpulan-kumpulan lain yang beroperasi di Filipina didapati telah menyusup masuk ke negara ini rentetan daripada operasi yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara tersebut.

Menurutnya, saki-baki anggota kumpulan militan itu telah dihapuskan oleh pihak berkuasa Filipina dan melalui risikan dan operasi yang dilakukan oleh pihak berkuasa, suspek yang dikehendaki tersebut berjaya dihapuskan.

“Ini sebenarnya usaha berterusan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din dalam menangani isu-isu keselamatan di Pantai Timur Sabah.

“Buat masa ini kami masih ada beberapa lagi suspek yang sedang dalam pemerhatian dan jika dapat dikenal pasti tindakan seterusnya akan diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Sambutan Hari Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) ke-62 di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ke­tua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Komander PSP, Datuk Wan Abdullah Ishak.

Semalam, suspek yang menggunakan sebuah bot pancung membolosi sempadan negara, namun kehadirannya berjaya di­sekat Esscom yang melakukan rondaan sepanjang masa yang sete­rusnya menyampaikan maklumat tersebut kepada Pasukan Polis Marin dan digerakkan ke kawasan laut Silam dan Lahad Datu untuk me­lakukan rondaan dan mengesan suspek.

Suspek kemudian segera memecut laju bot dan melepaskan tembakan yang menyebabkan pihak polis segera melepaskan tembakan balas ke arahnya untuk mempertahankan diri sehingga menyebabkan suspek terbunuh.

Sementara itu di KOTA KINABALU, seorang lagi suspek militan Abu Sayyaf yang terlibat dalam kegiatan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) di Sabah sedang diburu oleh pihak berkuasa di negeri ini.

Suspek dipercayai aktif merancang kegiatan jenayah rentas sempadan khusus di sekitar perairan di pantai timur Sabah.

Terdahulu, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya sedang mengkaji untuk memperkukuhkan lagi kekuatan sedia ada PSP termasuk dari segi logistik bagi memastikan isu-isu berkaitan ketenteraman awam sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

Beliau juga akan memberi penekanan untuk mengukuhkan unit wanita yang pada ketika ini mempunyai satu unit dengan le­bih 80 anggota bagi menangani isu-isu termasuk perhimpunan yang juga melibatkan kaum wanita.

“Kita sedang mempertimbangkan untuk tambah kekuatan tetapi semua ini tertakluk kepada kelulusan pihak kerajaan. Kami akan hantar kertas kerja kepada kerajaan terutamanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan keperluan logistik kepada Jabatan Perdana Menteri,” ujarnya.