Difahamkan, suspek berusia 30-an berpakaian demikian ketika melalui sekatan jalan raya di hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Panji yang diadakan bermula pukul 9 malam.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan negeri, Mohd. Apandi Jusoh berkata, operasi bersepadu itu melibatkan anggotanya bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).

Kata beliau, empat lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah melalui ujian air kencing yang dilakukan dan ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan untuk tindakan lanjut.

"Ketika ditahan, salah seorang suspek memakai jubah. Ini mungkin satu taktik untuk mengaburi pihak berkuasa supaya kami bersangka baik dengan penampilannya. Namun kita tidak mudah terpedaya dan akhirnya dia didapati positif dadah.

"Dalam operasi sama kita turut menjumpai peralatan menghisap syabu dalam simpanan salah seorang suspek," katanya ketika ditemui pemberita.

Menurut Mohd. Apandi, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Beliau turut memberitahu, operasi itu berlangsung selama dua hari dan setakat ini, pihaknya telah menyita 16 motosikal dan mengeluarkan 157 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang tamat tempoh. - UTUSAN ONLINE