Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu ke atas Cranwell Frazer Harry, 32, yang beralamat di Auckland, New Zealand, selepas tertuduh yang memakai baju penjara berwarna jingga mengangguk faham dan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu yang masih bujang, dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohamad Izwan memberi amaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya yang merupakan satu kesalahan serius kerana boleh membahayakan nyawa penumpang dan anak kapal.

Harry yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan resah, kerapkali mengeluh dan sambil menitiskan air matanya mengangguk dan menjawab “I promise sir...” (Saya janji Tuan).

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah membahayakan keselamatan suatu kapal udara dan orang yang berada di dalam kapal udara di mana tertuduh telah cuba membuka pintu kecemasan kapal udara tersebut di dalam penerbangan MAS, MH0130 dari Auckland, New Zealand ke KLIA, di sini pada pukul 11 malam, 12 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 97 Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206 (3)(a) Peraturan-peraturan Penerba­ngan Awam 2016 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, ketika penerbangan di udara dari New Zealand ke Vietnam dan transit di KLIA, seorang pramugari yang bertugas telah nampak tertuduh memegang pemegang pintu kecemasan pesawat dan cuba membuka pintu tersebut.

Tertuduh dipercayai di dalam pengaruh alkohol kerana telah minum minuman keras semasa dalam penerbangan tersebut.

Pramugari itu kemudian memindahkan tertuduh ke tempat duduk lain dan memaklumkan kejadian tersebut kepada ketua pramugari dan kapten bertugas sebelum tertuduh ditahan polis.

Siasatan lanjut polis mendapati tertuduh dalam keadaan mabuk dan tidak sedar ketika melakukan perbuatan tersebut.

Ketika rayuan, peguam Zaflee Pakwanteh yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah, tertuduh yang ketika kejadian dalam perjalanan ke Vietnam untuk bercuti bersama rakannya memohon maaf dan menyesal atas perbuatannya serta merayu hanya dikenakan denda minimum.

Zaflee berkata, pengalaman tertuduh yang berada di lokap selama dua hari selepas ditahan polis benar-benar memberi pengajaran kepada tertuduh untuk tidak mengulangi perbuatan sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Aziatul Afrizan Alias memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira ketakutan dan trauma yang dialami anak kapal yang melihat tertuduh cuba membuka pintu pesawat ketika di udara. – BERNAMA