Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, ibu bapa wanita itu bersama empat lagi suspek termasuk teman lelakinya dikatakan memukul pengurus kedai pizza tersebut setelah mangsa mengadu menerima ajakan hubungan seks.

“Ibu bapa wanita yang berang dengan tindakan tersebut bersama suspek lain lalu meluru ke kedai pizza pada pukul 11.19 malam dan kemudiannya memukul pengurus berkenaan.

“Perbuatan tersebut menyebabkan pengurus itu bersama dua rakan sekerjanya bertindak balas dengan memukul mereka sekali gus mencetuskan pergaduhan di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima aduan pergaduhan itu kemudian memberkas sembilan individu yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita.

Katanya, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 44 tahun disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Pengurus kedai pizza mengalami kecederaan di bahagian hidung dan mata serta lebam yang mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya turut diberkas polis,” katanya. - UTUSAN ONLINE