Turut ditahan empat lelaki warga tempatan yang dipercayai pelanggan kepada kumpulan pelacur terbabit.

Pengarah Imigresen negeri, Meor Hezbullah Meor Abd. Malik berkata, pelacur yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 30 tahun dan berasal dari beberapa negara termasuk Thailand, Vietnam dan Laos.

“Modus operandi kegiatan pelacuran ini ialah langganan yang dibuat menerusi laman web khas atau aplikasi 'Look Around' dalam WeChat.

“Difahamkan, kebanyakan pelanggan menggunakan aplikasi WeChat dan dikenakan bayaran antara RM180 hingga RM200 untuk setiap perkhidmatan seks yang ditawarkan," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Difahamkan, kesemua pelacur warga asing itu kemudian dibawa ke ibu pejabat Imigresen negeri di Seberang Jaya di sini untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depo Tahanan Warga Asing di Juru untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Meor Hezbullah berkata, kes disiasat mengikut  Peraturan 39(b), Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Katanya, pihak Imigresen negeri juga akan mengemukakan maklumat lanjut berhubung kes itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama berkaitan pengeluaran permit terhadap hotel tersebut kerana masih mengulangi kesalahan yang sama meskipun pernah diserbu sebelum ini.-UTUSAN ONLINE