Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, keputusan itu diperoleh hasil saringan awal yang dijalankan pihaknya ketika Ahmad Fairuz atau lebih dikenali sebagai Osh atau Firdaus tampil memberi keterangan di Balai Polis Sentral Johor Bahru, di sini pukul 5 pagi semalam.

"Keputusan awal saringan air kencing tersebut yang dijalankan oleh pihak polis adalah negatif, namun telah dihantar ke Jabatan Kimia di sini untuk mendapatkan keputusan terakhir," katanya selepas melancarkan Op Selamat 12/2018 sempena Tahun Baharu Cina, di sini sebentar tadi.

Akhbar hari ini melaporkan Ahmad Fairuz tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan dadah bersama pelakon Sofi Jikan di Balai Polis Sentral Johor Bahru, di sini semalam.

Terdahulu pada 8 Januari lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, polis memberi tempoh selama dua hari kepada dua penyanyi dikenali sebagai Firdaus dan Ahmad Tajuddin atau Taj untuk tampil membantu siasatan berkenaan.

Pada 31 Januari lalu, Farid Kamil, 37, membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur mendakwa dianiaya tiga rakan artis yang memasukkan dadah ke dalam minumannya.

Susulan laporan itu, pelakon, Sofi Jikan ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara pada pukul 11 malam, 8 Januari lalu selepas dia tampil memberi keterangan berikutan laporan yang dibuat Farid. - UTUSAN ONLINE