Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki berusia 43 tahun itu menyedari ditipu selepas gagal mendapatkan kembali wangnya yang kononnya digunakan sebagai jaminan penyelesaian kes dan mengelak daripada ditangkap polis.

Kejadian tersebut, katanya, berlaku pada 23 Januari lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pekerja sebuah bank dan memberitahu dia mempunyai ansuran bulanan pinjaman tertunggak selama tiga bulan.

“Seorang individu mendakwa bernama Osman Hassan menghubungi mangsa yang menyatakan dia mempunyai hutang sebanyak RM30,000 dengan kadar bayaran ansuran bulanan RM675.

“Mangsa menafikan dakwaan itu sebelum suspek menyambung panggilan itu kononnya ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan kemudian disambut seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa kemudian memberikan maklumat akaun termasuk kata laluan bank kepada ‘pegawai polis’ berkenaan.

“Mangsa juga diarahkan memasukkan wang ke dalam akaun miliknya sebagai wang jaminan untuk selesaikan kes yang dikatakan disiasat oleh polis IPK Terengganu.

“Di dalam akaun bank mangsa mempunyai wang berjumlah RM11,100. Mangsa juga memasukkan wang secara berperingkat iaitu RM1,000, RM4,000 dan RM5,000 ke dalam akaun banknya,” katanya.

Jelasnya, ketika mangsa memasukkan wang ke dalam akaun banknya, dia mendapati ada transaksi pindahan wang ke tiga akuan yang tidak dikenali berjumlah RM23,245. - UTUSAN ONLINE