Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, operasi tersebut akan dilaksanakan secara bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Katanya, operasi itu juga akan dilaksanakan secara berterusan, di samping penempatan anggota JPJ di kawasan tersebut yang ­telah dilakukan sebelum ini

“Ia masalah serius kerana turut melibatkan imej negara di mata dunia. Sebelum ini, kita telah tempatkan beberapa anggota di sana tetapi malangnya mereka menggunakan pelbagai modus operandi untuk mengelakkan daripada ditahan dan dikenakan tindakan.

“Selain operasi ini, kita akan buat penyamaran di kedua-dua pintu masuk utama negara ini supaya dapat mengenal pasti de­ngan lebih terperinci taktik yang mereka gunakan,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md. Taib berkata, pihaknya berjaya membuat 67 tangkapan terhadap ulat teksi yang beroperasi secara haram di KLIA dan KLIA2 sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Tangkapan tersebut turut melibatkan dua warga asing ma­sing-masing dari Bangladesh dan Pakistan.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad pula berkata, sebanyak 334 operasi bersepadu membabitkan PDRM dan JPJ dilaksanakan oleh pihaknya bagi membanteras aktiviti ulat teksi atau teksi haram di negara ini.

“Operasi ini diadakan di seluruh negara. Kita akan adakan lagi pelbagai operasi selepas ini untuk memastikan kegiatan ini dihentikan,’’ tegasnya.