Timbalan Pengarah JPJ Wilayah, Abdul Tolib Ahmad berkata, kebanyakan notis saman itu membabitkan dua kesalahan utama iaitu tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh dengan masing-masing 447 dan 296 saman.

Menurutnya, operasi selama empat jam yang berakhir kira-kira pukul 12 malam itu turut membabitkan lima agensi lain iaitu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Fokus utama kita mengadakan operasi bersepadu ini adalah bagi mengesan kesalahan dilakukan pemandu kenderaan perdagangan, perkhidmatan awam dan persendirian, terutama penunggang motosikal yang menjadi penyumbang utama kemalangan jalan raya.

“Kita sentiasa berusaha mencari jalan mengurangkan kes ini justeru, langkah mengadakan operasi dengan kerjasama agensi lain sekurang-kurangnya mampu membendung kes sedemikian daripada terus meningkat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Abdul Tolib, menerusi operasi itu, sebanyak 2,358 kenderaan diperiksa dengan 10 buah motosikal disita.-UTUSAN ONLINE