Mayat mereka ditemukan di pelbagai lokasi antara 15 minit sehingga tiga jam berjalan kaki dari penempatan masyarakat tersebut dan kesemuanya diurus mengikut adat iaitu dibungkus menggunakan tikar mengkuang serta diletakkan di atas pelantar khas.

Selain itu, pasukan pencari turut menggali semula kubur seorang lagi mangsa beragama Islam, Romi Hamdan, 29, yang meninggal dunia pada 29 Mei lalu dan dikebumikan keesokan harinya di lokasi tidak jauh dari penempatan Orang Asli suku Batek terbabit.

KETUA Polis Daerah, Superintenden Mohd Taufik Maidin
KETUA Polis Daerah, Superintenden Mohd Taufik Maidin 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, mayat Romi digali dan dibawa keluar dari lokasi tersebut kira-kira pukul 3.30 petang ini sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang bagi menjalani ujian tertentu yang lebih terperinci.

“Romi antara dua mangsa yang kematiannya dilaporkan secara rasmi kepada pihak polis sebelum ini dan tidak termasuk 12 mayat mangsa yang sedang kita kesan sekarang.

“Sementara itu, kesemua lapan mayat mangsa lain yang disemadikan mengikut adat suku Batek hanya dikenal pasti dan ditandakan lokasinya. Kelapan-lapan mayat terbabit belum dibawa keluar,” katanya dalam sidang akhbar di Felda Aring 10, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Taufik memberitahu, dengan penemuan lapan mayat terbabit, pasukan pencari perlu mengesan empat lagi baki mayat mangsa dan operasi tersebut dijangka menjadi lebih sukar kerana mereka disemadi lebih jauh ke dalam hutan berbanding yang lain.

“Operasi hari ini berjalan lancar kerana cuaca baik selain dibantu wakil Orang Asli sendiri,” katanya.

Op Batek digerakkan oleh pasukan pencari terdiri daripada anggota Bahagian Siasatan Forensik Bukit Aman dan pasukan forensik Kementerian Kesihatan dengan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta penunjuk arah daripada masyarakat Orang Asli suku kaum Batek dan agensi lain.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang meluangkan masa melawat pusat operasi Op Batek di Felda Aring 10 berkata, keadaan di penempatan masyarakat Orang Asli suku Batek terkawal dan kerajaan akan terus memastikan kebajikan mereka terbela.

Berdasarkan statistik terkini, seramai 103 Orang Asli suku kaum Batek masih menerima rawatan di tiga hospital iaitu Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

Daripada jumlah itu, 56 mangsa dirawat sebagai pesakit luar, 42 mangsa di wad biasa dan lima mangsa di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mereka terdiri daripada 50 lelaki dan 53 wanita. - UTUSAN ONLINE