Penahanan remaja berke­naan sekali gus menjadikan rekod penagih paling muda ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi Operasi Perdana (Op Perdana) yang digerakkan bersama dua hari lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Izhar Abu Talib berkata, remaja lelaki berkenaan ditahan ketika serbuan ke atas salah sebuah unit perumahan awam di Cheras.

Menurutnya, remaja ber­kenaan sudah tidak bersekolah dan tinggal bersama keluarga dalam satu unit yang sama.

“Inilah yang membimbang­kan kerana yang kita dapat tahan ketika umur 13 tahun, dia mula menghisap dadah tentunya lebih awal daripada itu.

“70 peratus daripada individu yang ditahan berusia antara 13 hingga 39 tahun di kawasan-kawasan perumahan yang berisiko tinggi,” katanya ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Pe­nyelaras Op BAH, Azman Mahmod dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Turut serta dalam Op BAH siri ke 38 itu termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, Izhar ber­kata, operasi yang digerakkan sempena Op BAH merupakan rentetan Op Perdana yang telah dijalankan sehari lebih awal dengan mensasarkan empat daerah di ibu negara.

“Hasil daripada operasi selama dua hari seramai 100 ditahan dan 82 didapati positif dadah,” katanya.

Operasi yang dilancarkan secara serentak di tiga lokasi bermula kira-kira pukul 11 malam tadi berakhir pada pukul 2 pagi.