ZULKIPLI MORNI
ZULKIPLI MORNI

Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, suspek, Zulkipli Morni, 34, dikatakan telah membuka garinya dan berlari keluar dari kawasan IPD.

Timbalan Ketua Polis daerah (Operasi), Superintenden Abang Junaidi Abang Anuar berkata, kejadian tersebut berlaku ketika suspek bersama dua orang kena tuduh (OKT) berada di bilik pengawal.

“OKT terbabit berjaya membuka gari lalu berlari keluar menuju ke sebuah kereta yang dipercayai dipandu rakannya yang menunggu di kawasan pintu masuk IPD.

“Anggota yang berada di bilik pengawal cuba mengejarnya namun suspek telah masuk ke dalam sebuah kereta berwarna putih jenis Proton Iswara dan terus memecut ke arah jalan besar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Junaidi memberitahu, nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek tidak dapat dicam kerana dipercayai telah diubah suai.

“Gerakan mencari, mengesan dan menangkap OKT telah dikeluarkan dengan membuat Op Tutup.

Suspek ketika itu memakai baju berwarna merah manggis dengan seluar jeans biru,” jelasnya.

Jelas Abang Junaidi, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar segera menyalurkannya kepada pihak polis dan sesiapa didapati melindungi suspek boleh didakwa kerana bersubahat.

“Siasatan lanjut terhadap anggota polis yang bertugas ketika kejadian akan dijalankan sekiranya terdapat unsur kecuaian sehingga menyebabkan OKT terbabit dapat melarikan diri," tambahnya. - UTUSAN ONLINE