Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, premis berkenaan terpaksa dikosongkan setelah pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9 malam.

Katanya, berdasarkan maklumat tersebut, Unit Pemusnah Bom dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dihantar ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan lanjut.

"Pemeriksaan di tandas wanita restoran itu menemukan objek dibalut pita pelekat berwarna hitam dengan gulungan wayar di atas pam tandas selain tulisan 'tempat ini akan meletup' yang ditulis menggunakan pen marker berwarna merah di dinding.

"Hasil pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati objek berkenaan hanya mengandungi gulungan wayar tiga jenis pelbagai warna bersama penutup botol," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Menurut Mohd. Ali, daripada pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya mengesahkan bangunan dua tingkat restoran berkenaan adalah selamat untuk dihuni dan tiada insiden letupan berlaku.

Katanya, semasa kejadian pada pukul 8.30 malam itu, terdapat lebih 20 orang termasuk pelanggan dan pekerja berada di dalam premis berkenaan.

"Restoran ini dipasang kamera litar tertutup (CCTV) namun hanya di bahagian bawah restoran sehingga tangga menuju tingkat atas.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui motif kejadian dan difahamkan restoran ini tidak pernah menerima sebarang ugutan dan ancaman. Siasatan kes ini dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah," katanya.

Sementara itu seorang pekerja yang dikenali sebagai Elan, 22, berkata, objek itu dijumpai seorang pelanggan wanita yang ingin menggunakan tandas sebelum memaklumkan penemuan itu kepada juruwang di kaunter.

"Curiga dengan objek itu, kami segera menghubungi pihak polis dan mereka kemudiannya mengarahkan kami agar mengosongkan bangunan. Ketika itu ada beberapa pelanggan yang sedang makan di tingkat atas," katanya. - UTUSAN ONLINE