Tindakan dua pemandu bas itu yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke ibu negara terbabit dikesan menerusi Op Serkap dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Lebuh Raya Tanjung Malim-Lembah Beringin dekat sini hari ini.

Ketua Jabatan Penguat Kuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, selain dua buah bas yang memandu melebihi had laju, pihaknya turut mengambil tindakan ke atas enam buah lori perdagangan manakala 22 kes direkodkan PDRM atas kesalahan sama.

Ujarnya, dalam operasi bersepadu yang bermula pukul 3.30 petang itu, kesemua pemandu dikenakan tindakan di bawah Seksyen 23 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kita mendapati, mereka memandu sehingga 115 kilometer sejam (km/j), yang mana kelajuan yang dibenarkan adalah 90 km/j sahaja. Pemandu bas seharusnya sedar bahawa mereka membawa banyak nyawa dan perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa kejadian tidak diingini.

“Kita tidak dapat menerima alasan untuk sampai cepat ke destinasi atau menghilangkan rasa mengantuk kerana kelajuan antara punca kemalangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Che Hasni, operasi berkenaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa selain penguatkuasaan membabitkan pelbagai agensi supaya pihaknya dapat mengenal pasti tingkah laku degil pemandu yang ingkar undang-undang negara.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, operasi terbabit melibatkan 12 orang pegawai dan anggota SPAD dan 18 anggota PDRM. - UTUSAN ONLINE