JUMAARIE AFFENDI terpaksa menerima 11 jahitan di muka akibat dipukul dengan batang besi di Simpang Pulai, Ipoh, Perak, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu menyebabkan Jumaarie Affendi, 28, cedera di muka sehingga terpaksa mene­rima 11 jahitan di bawah mata kanan, patah tangan kanan dan bengkak serta lebam di beberapa bahagian badan.

Jumaarie berkata, ketika kejadian, dia bersama seorang rakan dalam perjalanan ke Simpang Pulai untuk mengambil van yang telah dibaiki sebelum ternampak seorang lelaki sedang menolak motosikalnya dipercayai rosak.

Menurutnya, kerana simpati dengan lelaki terbabit, dia telah meminta rakannya memberhentikan motosikal untuk menolong suspek.

“Niat saya hanya mahu bertanya sama ada motor lelaki itu rosak atau tidak. Jika perlukan bantuan, kami mahu membantunya.

“Namun sebaik sahaja saya bertanya keadaannya, lelaki itu terus menarik baju dan menolak saya ke tanah. Apabila saya mahu melawan, ada seorang lagi lelaki secara tiba-tiba muncul dari belakang memukul dengan kayu dan menyebabkan saya terjatuh semula,” katanya di sini hari ini.

Menurut Jumaarie yang be­kerja sebagai pemandu itu, tindakan dua lelaki tersebut terlalu pantas sehinggakan dia tidak mampu mempertahankan diri.

Katanya, ketika itu rakannya yang masih berada di atas motosikal segera beredar bagi mendapatkan pertolongan.

“Seorang lelaki mengeluarkan sebatang besi dari motosikal dan terus memukul muka saya. Setelah melihat keadaan saya yang tidak berdaya itu, mereka kemudian memeriksa poket bagi mencari barang berharga namun tiada kerana kedua-duanya dompet dan telefon bimbit ada dalam motosikal yang ditunggang rakan,” katanya.

Tambahnya, mungkin me­nyedari kehadiran rakannya bersama dua rakan lain, dua suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh itu melarikan diri dengan motosikal yang dipercayai jenis Honda EX5.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhu­bung kejadian itu.