Kesal dengan nasib menimpa mangsa, Perdana Menteri berkata, kumpulan tersebut jelas terdiri daripada mereka yang tiada perasaan.

“Saya tengok kepada kea­daan mangsa, nampak jelas orang yang melakukannya (perusuh) mempunyai niat untuk membunuh.

“Kita boleh ada demonstrasi, tetapi perlu berlangsung de­ngan aman, namun yang berlaku sekarang ini bukan satu demonstrasi, ia satu tindakan untuk membunuh bila mereka datang dengan parang dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa setengah jam melawat Muhammad Adib untuk mengetahui perkembangan yang sebelum ini dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Perdana Menteri menjelaskan, biarpun pihaknya tidak mempunyai bukti mencukupi namun polis akan melakukan siasatan terperinci untuk mengesan dalang rusuhan tersebut.

Ditanya mengenai tindakan pemaju mengupah samseng tempatan dalam kes tersebut, beliau menyifatkan itu adalah perbuatan tanpa berfikir.

Malah ujar beliau, tindakan pihak tersebut membuktikan mereka langsung tidak faham budaya masyarakat di negara ini.

“Orang asing ini tidak faham budaya di Malaysia, tidak boleh buat macam itu. Kalau kita dapat tahu siapa yang melakukannya, pihak Peguam Negara akan mengambil tindakan,” tegasnya.

Mengulas mengenai pihak pengurusan kuil yang meminta campur tangan kerajaan, Perdana Menteri memberitahu, beliau akan membuat kenyataan berhubung perkara itu di Parlimen esok.