Bagaimanapun, ibu mangsa yang berusia 63 tahun bersama dua anak perempuannya masing-masing berusia enam dan dua tahun terselamat selepas suspek meninggalkan tiga beranak itu di tepi jalan di Bukit Bakar, Machang.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, sebelum kejadian, ibu mangsa bersama bapanya yang berusia 60 tahun serta dua anak perempuannya telah singgah di stesen minyak untuk mengepam tayar kira-kira pukul 10.40 malam.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, mangsa kemudiannya turun untuk mengepam tayar manakala bapanya ke tandas dan meninggalkan ibu serta dua anaknya di dalam kereta dalam keadaan tidak berkunci.

“Semasa mengepam tayar, mangsa telah menyedari keretanya berundur ke belakang dan waktu itu, bapanya sempat menarik suspek bagi memberhentikan kereta tersebut namun tidak berjaya.

“Waktu itu, mangsa hanya melihat seorang suspek di dalam kereta tersebut selain ternampak sebuah lagi kereta jenis Proton Wira telah mengekori rapat kereta mangsa yang telah dilarikan suspek,” katanya di sini, hari ini.

Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek disyaki dua lelaki India yang telah bertindak mengambil semua barang yang ada di dalam kereta.

“Selain itu, suspek juga telah merampas barang kemas yang dipakai oleh ibu mangsa dengan mengacu sebilah pisau di lehernya,” katanya.

Tambahnya, ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kerugiaan yang dianggarkan RM9,000 termasuk barang kemas.

“Kereta mangsa ditemukan kira-kira 30 minit kemudian di tepi jalan di kawasan berdekatan bagaimanapun suspek telah melarikan diri,” katanya. - UTUSAN ONLINE