Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya terlebih dulu menahan bot tersebut kira-kira pukul 5 pagi di kedudukan 3.7 kilometer, selatan Kuala Kedah kerana menjalankan aktiviti rawa surung.

“Kami mengikut prosedur dengan individu berusia 25 tahun dibawa menaiki bot maritim manakala rakannya berusia 37 tahun diarah mengendalikan bot tersebut sehingga ke Pejabat Maritim Malaysia Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun pengendali bot tersebut dilihat sengaja menelusuri kawasan cetek serta mengambil kesempatan daripada keadaan cuaca yang kurang baik. Tindakannya itu kemudiannya menyebabkan bot itu terbalik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan bot tersebut milik abang ipar kepada nelayan berusia 37 tahun tersebut dengan mereka berdua hanya mengusahakannya saja.

Mahmad Faizal menambah, tindakan pantas anggota maritim yang lain berjaya menyelamatkan pengendali bot berkenaan bersama dua Laskar Kanan Maritim Malaysia terbabit daripada dihanyutkan arus.

“Taktik digunakannya untuk menghapuskan bahan bukti itu juga tidak berhasil apabila bot tersebut ditemukan kembali dengan bantuan nelayan berhampiran.

“Bot itu bersama dua individu berkenaan kemudiannya berjaya dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah dengan selamat,” katanya.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta perikanan 1985 iaitu beroperasi tanpa lesen yang sah. – UTUSAN ONLINE