Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, 30, mengalami pendarahan teruk di dada selepas menegur perbuatan suspek yang turut menampar mangsa serta dua lagi rakannya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, sebelum kejadian mangsa bersama suspek dan dua lagi rakan mereka telah bersantai di atas kapal menangkap ikan sambil meminum minuman keras.

Menurutnya, suspek yang di bawah pengaruh alkohol secara tiba-tiba bertindak agresif dengan menampar rakan-rakannya sebelum ditegur oleh mangsa supaya tidak berbuat demikian.

“Berang dengan teguran itu, suspek masuk ke dalam bilik di atas kapal dan mengambil pisau lalu menyerang mangsa yang menegurnya.

“Salah seorang saksi yang melihat kejadian itu cuba menghalang tetapi suspek yang berusia 27 tahun tidak mengendahkan lalu menyerang mangsa hingga mengalami pendarahan di dada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

Chandra memberitahu, kelmarin kira-kira pukul 11.45 pagi, sepasukan anggota dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya mengesan serta menangkap suspek.

Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE