Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, keputusan sama ada didakwa, disambung reman atau dibebaskan hanya akan dibuat pada tarikh tersebut.

"Akan buat keputusan pada hari Jumaat nanti," katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mohamed Apandi memaklumkan pertuduhan terhadap suspek keempat, Jong-chol, 47, yang direman selama 14 hari bermula 18 Februari lalu tidak akan dibuat hari ini memandangkan siasatan polis masih belum dilengkapkan.

Pada 17 Februari lalu, suspek lelaki warga Korea Utara itu telah ditahan pihak polis dan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan kematian Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Penahanan lelaki itu dibuat dua hari selepas dua suspek wanita kes pembunuhan tersebut iaitu warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, dan warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, ditahan.

Kedua-dua wanita itu telah didakwa di Mahkamah Mejistret Sepang hari ini atas tuduhan membunuh Jong-nam mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.