Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berkata, penggambaran muzik video lagu berjudul Like A Dog itu dibuat di tepi jalan utama Putrajaya dan bukannya di hadapan masjid.

"Babak yang muncul hanyalah jalan besar di Putrajaya dan pejabat Perdana Menteri yang terletak kira-kira satu kilometer di belakang dan kami tidak menyentuh mana-mana bahagian kawasan ibadah.

"Maklumat yang mengatakan saya membuat penggambaran dan menghina kawasan masjid adalah tidak benar sama sekali dan tidak pernah berlaku," katanya dalam video berdurasi selama 10 minit yang dimuat naik di akaun YouTube miliknya, semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, penyanyi itu tidak boleh menyalahkan pihak berkuasa sekiranya tindakan dikenakan ekoran video terbarunya yang sekali lagi mengguriskan sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Dalam klip video tersebut menara Masjid Putra, Putrajaya turut kelihatan selain aksi tidak senonoh penari latar yang memakai topeng anjing.

Ini bukan kali pertama Namewee mencetuskan kontoversi menerusi muzik videonya. Sebelum ini, menerusi lagu Oh My God, penyanyi itu telah memuatkan adegan menari di lokasi ibadah antaranya masjid, gereja, kuil dan tokong Buddha.

Dalam pada itu, Namewee memberitahu, tindakannya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.

"Semua idea dibuat diri sendiri tanpa dikawal atau melibatkan mana-mana parti politik. Jika ada komen berunsur politik, itu hanyalah pendapat saya sebagai seorang rakyat," ujarnya.

Jelasnya lagi, dia tidak mungkin menghina ataupun memalukan mana-mana agama ataupun bangsa yang ada dalam negara. - UTUSAN ONLINE