Menurut sumber, Ahli Parlimen Pekan itu dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas beliau ditahan oleh suruhanjaya itu pada pukul 10.51 pagi ini.

Terdahulu, beliau telah hadir ke SPRM dengan menaiki kereta jenis Kia Sorento berwarna perak pada pukul 10.42 pagi untuk dirakam keterangannya berhubung siasatan kes itu.

Tambah sumber itu lagi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda dijangka hadir memberikan keterangan ke SPRM esok.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sekali lagi ke Suruhanjaya Pencegahan Ras

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sekali lagi ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai untuk dirakam keterangan berhubung siasatan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - UTUSAN ONLINE/  RASHID MAHFOF 

Pada 6 Disember lalu, Najib telah memberikan keterangan selama empat jam membabitkan kes berkenaan.

Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut dirakam keterangan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

SPRM dilaporkan telah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB itu.

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, suruhanjaya itu juga telah meneliti dokumen asal laporan tersebut untuk dibandingkan dengan draf akhir yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.

Perkara itu susulan pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad pada 25 November lalu yang dilaporkan mengesahkan laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan Najib.

Madinah dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media memberitahu, laporan itu ada menyebut kehadiran individu diburu iaitu Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

Dakwa Madinah lagi, Najib menerusi Ketua Setiausaha Sulit beliau, Tan Sri Shukry Salleh mengarahkan perenggan itu digugurkan atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputarbelitkan pihak pembangkang. - UTUSAN ONLINE