Menurut sumber, ini kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan telah membuka beberapa lagi kertas siasatan terhadap beliau rentetan siasatan kes tersebut.

“Penyiasat SPRM kini sedang berusaha menyiapkan semua kertas siasatan itu termasuk kes yang babitkan beliau dipanggil hari ini.

“SPRM hanya lakukan siasatan dan keputusan untuk pertuduhan terpulang kepada Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Najib hari ini dipanggil memberi keterangan kepada SPRM selama lebih enam jam berhubung siasatan pembayaran hutang dana pelaburan 1MDB kepada syarikat milik Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co. (IPIC).

Beliau dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes tersebut ekoran wujud penemuan baharu dalam siasatan 1MDB yang masih dijalankan.

Bagaimanapun, usaha petugas media untuk menemui Najib gagal apabila pihak SPRM memaklumkan bekas Menteri Kewangan itu telah keluar pada kira-kira pukul 4.30 petang melalui pintu belakang Ibu Pejabat SPRM di sini.

Malah Najib dipercayai masuk ke ibu pejabat berkenaan pada pukul 10 pagi menerusi laluan sama.

Difahamkan, Najib dipanggil untuk memberi keterangan kepada dua kumpulan penyiasat yang berbeza.

Beliau sebelum ini pernah beberapa kali dipanggil memberi keterangan kepada SPRM membabitkan kes 1MDB terma­suk bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn. Bhd.

Malah beliau pernah dihadapkan ke mahkamah membabitkan kes di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan pecah amanah (CBT).

Kali terakhir Najib didakwa adalah pada 20 September lalu atas 21 pertuduhan di bawah AMLATFPUAA 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.