Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, insiden tersebut tidak berlaku dan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan kerisauan orang ramai.

"Kes culik budak melibatkan kereta atau van putih tidak berlaku di negeri ini seperi yang ditularkan. Saya harap orang ramai tidak menyebarkan berita-berita palsu seperti ini.

"Ini kerana boleh menimbulkan kegusaran dan mengganggu ketenteraman awam," katanya ketika berucap dalam Program Apresiasi Keselamatan Untuk Kesejahteraan Awam di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri, Mohd. Shaman Jaes.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya berjaya menangkap dua penjawat awam di negeri ini yang terlibat dengan kumpulan Daesh dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Beliau menasihatkan orang awam terutama umat Islam supaya tidak terpedaya dengan kumpulan militan tersebut dan pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana jabatan atau agensi yang mahu melakukan operasi penguatkuasaan di tempat-tempat awam.

Bagaimanapun katanya, penyertaan polis adalah terhad bergantung kepada keadaan semasa dan biasanya pihaknya terlibat dalam operasi bersepadu melibatkan banyak jabatan kerajaan.

"Kita akan usahakan untuk bantu contohnya dalam operasi penguatkuasaan rokok di restoran baru-baru ini memerlukan penglibatan polis kerana ada pegawai dan kakitangan kesihatan yang menerima ancaman semasa operasi itu," katanya. - UTUSAN ONLINE