Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, ia berikutan penemuan lima sampel mengandungi kesan cecair mudah menyala jenis petrol yang dicurahkan di hadapan gril pintu lipat sebuah kedai makan di tingkat satu bangunan tersebut.

“Dua anjing pengesan (K9) bomba digunakan dalam siasatan dan lima sampel diambil untuk dianalisa pegawai kimia di makmal penyiasatan kebakaran bomba negeri.

“Hasil ujian mendapati lima sampel tersebut mengandungi cecair jenis petrol dan kebakaran bangunan tersebut dipercayai berpunca daripada api yang di­nyalakan menggunakan bahan api itu yang curahkan di hadapan gril pintu lipat kedai makan Seng Hing bernombor 758A di tingkat satu,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Pada 9 September lalu, kebakaran yang berlaku pada pukul 7.35 malam telah memusnahkan tingkat atas bangunan Pasar Besar Seremban di Jalan Tun Dr. Ismail, di sini namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mengulas lanjut Norazam berkata, bomba turut menemukan bahan penghidup api yang masih belum terbakar di dalam tong sampah berhampiran tempat kejadian.

Maklumat awal mengenai kes tersebut katanya telah diserahkan kepada pihak polis pada 15 September lalu untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Norazam turut memaklumkan bomba menerima panggilan kecemasan kejadian berkenaan agak lewat selain tiupan angin yang kuat menyebabkan kebakaran merebak hampir keseluruhan pasar tersebut.

“Kita juga berhadapan dengan kesukaran semasa proses mema­damkan api kerana kebanyakan kedai dipasang gril besi yang dilapis dengan gril pintu lipat dan bomba terpaksa buka selapis demi selapis untuk setiap kedai,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan turut meluahkan rasa kesal dengan tragedi yang berpunca daripada perbuatan khianat.

“Disebabkan perbuatan mereka, kerajaan negeri terpaksa menanggung kos membaik pulih pasar berkenaan sebanyak RM6 juta,” katanya.