Dalam masa sama, Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, pihaknya turut akan memanggil teman lelaki wanita tersebut untuk disoal siasat berhubung kes berkenaan.

"Kita tidak akan membenarkan lagi wanita itu berjumpa anaknya meskipun dia sudah dibebaskan.

"Malah kanak-kanak itu akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dibenarkan keluar dari hospital sehinggalah siasatan selesai. Kita tidak benarkan dia tinggal bersama ibu dan ahli saudaranya," katanya di sini hari ini.

Semalam Utusan Online melaporkan kanak-kanak tersebut terpaksa diselamatkan oleh polis selepas dikurung di rumah sejak Jumaat lalu.

Malah kanak-kanak tersebut juga terpaksa memanggil jirannya dari pintu belakang sebelum itu bagi meminta makanan kerana terlalu lapar akibat ditinggalkan oleh ibunya beberapa hari.

Sementara itu, Noor Mushar tidak menolak kemungkinan kanak-kanak tersebut didera oleh ibunya namun masih menunggu laporan daripada pihak Hospital Tuanku Fauziah (HTF)

"Kemungkinan itu ada (penderaan) iaitu sama ada kanak-kanak perempuan itu didera secara fizikal atau mental. Walau bagaimanapun kita masih menunggu laporan terbabit dan kanak-kanak itu kini masih ditahan di Wad Pediatrik, HTF.

"Kita juga masih belum menyoal siasat kanak-kanak terbabit kerana dia masih menjalani rawatan dan tidak dibenarkan oleh pakar untuk bertemu dengan orang luar," katanya. - UTUSAN ONLINE