Ini bukan kali pertama penulis berada di situ tetapi melihat sendiri sejak beberapa minggu lalu, bagaimana kumpulan pelumba haram ini beraksi sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Dalam keadaan hujan renyai, penulis bersama jurufoto yang berada di salah satu lokasi perlumbaan itu pada pukul 11.30 malam mendapati mereka tidak berlumba kerana lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) licin akibat hujan.

Namun, jangkaan penulis tiada perlumbaan pada malam itu meleset apabila satu jam kemudian, mereka mula memanaskan jentera masing-masing.

Berdasarkan pemerhatian, lebih 60 mat rempit tiba di Duke dan bersiap sedia untuk ‘menawan’ lebuh raya tersebut.

Terdapat dalam kalangan mereka menunggu giliran dengan menjadi penonton dan diselang-seli dengan sesi ‘memanaskan enjin’ sebelum beraksi.

Apa yang mengejutkan, kebanyakan mat rempit itu terdiri daripada remaja sekolah belasan tahun, selain membabitkan remaja perempuan yang turut menyertai aktiviti itu.

Laluan perlumbaan kadang kala tidak menentu, bergantung kepada mood pelumba yang menetapkan garisan penamat. Apa yang pasti, aksi bermula dari sebuah restoran 24 jam, mengambil pusingan-U di Jalan Batu Caves sebelum memasuki semula lebuh raya itu.

Kebanyakan motosikal yang digunakan pula telah diubah suai enjin, bahkan kelajuannya boleh mencecah lebih 120 kilometer sejam (ksj) yang mana boleh menyebabkan penunggangnya maut jika hilang kawalan.

Kenyataan itu bersandarkan pada pemerhatian sendiri yang dilakukan selepas kenderaan penulis dengan mudah dipintas walaupun pada kelajuan 120ksj ketika berada di lebuh raya tersebut sedangkan had laju ditetapkan hanyalah 110ksj.

Pada hemat penulis, mereka bukan sahaja layak digelar pelesit jalanan bahkan mengejar pusara sendiri di lebuh raya.