Tertuduh Muhamad Hafizi Mat Jusoh, 19, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Hafizi didakwa memiliki dua butir bom improvised explosive device (IED) di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh pada pukul 6.05 petang, 10 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh diwakili peguam Arif Azami Hussein.

Muhammad Hafizi yang dipercayai terbabit dengan aktiviti kumpulan pengganas sejak berusia 12 tahun, turut berdepan empat pertuduhan lain iaitu terbabit dengan aktiviti pengganas Daesh.

Mengikut empat pertuduhan itu, dia didakwa memiliki gambar, video dan dokumen, memaparkan bahan berkaitan kumpulan pengganas, memberi latihan menerusi aplikasi WhatsApp dan hadir di tempat latihan pengganas Daesh.

Kesalahan didakwa masing-masing mengikut Seksyen Seksyen 130JB(1)(a), Seksyen 130JB(1)(b), 130F(a) dan Seksyen 130FB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dua lagi rakan tertuduh, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24, dan Mahadi Ibrahim, 34, yang masing-masing berdepan tiga dan dua pertuduhan berasingan berkait kumpulan pengganas Daish turut dihadapkan ke mahkamah sama.

Bagaimanapun tiada keterangan direkodkan dan kedua-duanya tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor.

Mahkamah menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan permohonan pemindahan bagi pertuduhan kumpulan Daesh ke Mahkamah Putrajaya untuk dibicarakan serentak.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggagalkan rancangan serangan terhadap The Better Beer Festival 2017 dengan tertangkapnya tiga lelaki termasuk perancang utama, seorang pelajar tingkatan enam di Pasir Puteh, Kelantan, 10 Oktober lalu.

Suspek utama yang berusia 19 tahun bersama seorang bekas tentera, 34, dan kontraktor binaan, 25, dipercayai telah merangka serangan tersebut selepas menerima maklumat mengenai penganjuran festival arak tersebut yang dijadualkan berlangsung di Solaris Dutamas pada 6 Oktober lalu. - UTUSAN ONLINE