Bagaimanapun, kegiatan me­reka berjaya dikesan Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen negeri hasil serbuan di beberapa lokasi berasingan bermula kira-kira pukul 7.30 pagi semalam.

Pengarah Imigresen negeri, Meor Hezbullah Meor Abd. Malik berkata, suspek lelaki dan perempuan yang masing-masing berusia 37 dan 48 tahun ditahan hasil risikan serta intipan selama hampir sebulan.

Menurutnya, susulan penahanan itu, pihaknya berjaya menyelamatkan lima wanita warga Indonesia berusia antara 20 dan 26 tahun yang dipercayai telah dieksploitasi sebagai pembantu rumah untuk mendapatkan keuntungan mudah.

Ujarnya, suspek pertama ditahan di Butterworth sebelum serbuan dilakukan di tiga lagi lokasi berasingan di sini selain di kediaman suspek kedua di Sungai Petani, Kedah yang turut membawa kepada penahanan suspek tersebut.

“Hasil penggeledahan yang dilakukan ke atas keempat-empat lokasi, beberapa barangan berkaitan telah dijumpai dan dirampas termasuk enam pasport Indonesia, wang tunai berjumlah RM465, tiga telefon bimbit, sekeping kad debit atau kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga keping kad kredit.

“Turut dirampas ialah satu cop syarikat, buku resit, penyedut hampagas serta kereta Honda CRV dan Perodua Kenari,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Meor Hezbullah membe­ritahu, modus operandi sindiket tersebut ialah dengan menjanjikan peluang pekerjaan dan tawaran gaji menarik kepada wanita dari negara jiran untuk bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, se­tibanya di suatu lokasi di Su­ngai Petani, kesemua dokumen perjalanan mangsa termasuk sijil perkahwinan serta sijil akademik telah disimpan oleh sindiket berkenaan dan diugut untuk dibakar sekiranya mereka cuba melarikan diri.

“Berdasarkan akuan awal yang kita terima daripada kelima-lima mangsa, mereka mendakwa tidak pernah mene­rima gaji secara fizikal dan tiada cuti bekerja serta tidak dibenar menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga masing-masing.

“Kesemua suspek dan mangsa kini disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) serta Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613)," katanya.

Meor Hezbullah menjelaskan, pihaknya juga telah memohon Perintah Perlin­dungan Interim (IPO) terhadap kesemua mangsa dan Perintah Penahanan Reman (di bawah Sek­syen 117 Kanun Prosedur Jenayah) terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini.

Tambahnya, kes tersebut masih disiasat dan pihaknya sedang mengesan seorang lagi individu yang dipercayai terlibat serta menjadi dalang membawa masuk kumpulan warga asing terbabit.