Justeru, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya, sebaliknya perlu menyemak kesahihan maklumat dan berita yang disebarkan dalam media sosial terlebih dahulu.

"Pada 12 April (semalam) kira-kira pukul 10 pagi, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian telah menerima maklumat berhubung kehadiran sejumlah besar pelanggan di Pasaraya Econsave ekoran tersebar mesej kononnya Tunku Mahkota Johor akan hadir memberi bantuan sebanyak RM200 bagi membeli keperluan harian di situ.

"Hasil siasatan mendapati mesej tersebut adalah palsu. Penyebaran mesej seumpama itu juga dikesan di beberapa lokasi lain di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, penyebaran berita, mesej atau maklumat palsu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, siasatan juga boleh dijalankan di bawah Seksyen 4 Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan hukuman hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Polis Johor tidak akan berkompromi dengan individu, pengendali media sosial atau portal berita yang menulis dan mengeluarkan sebarang artikel atau kenyataan palsu, menyakitkan hati, menjelikkan atau menyentuh sensitiviti 
mana-mana pihak.

"Tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap individu yang didapati menyalahgunakan media sosial dan pendakwaan mengikut undang-undang akan dikenakan terhadap individu ini," katanya.
Kelmarin, pusat beli-belah AEON Mall Tebrau City, di sini diserbu pelanggan apabila Tunku Ismail membuat kejutan dengan membayar kesemua barangan yang dibeli pelanggan bahagian pasar raya berkenaan. - UTUSAN ONLINE