Sungguhpun begitu, kebanyakan pemilik turut didapati beroperasi lebih masa malah tidak memiliki lesen sah bagi premis selain tidak membayar eksais penjualan arak sehingga menyebabkan kerajaan rugi jutaan ringgit akibat kehilangan hasil kutipan cukai.

Menurut sumber, pusat hiburan terbabit mampu menjana keuntungan lumayan dianggarkan antara RM400,000 hingga RM500,000 setiap hari apatah lagi apabila beroperasi 365 hari setahun.

“Perkara ini berlaku di seluruh negara membabitkan premis hiburan berkenaan, kebiasaasnnya lesen pusat hiburan ini hanya membenarkan mereka beroperasi bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam sebaliknya kebanyakannya pusat hiburan ini buka sehingga pukul 6 pagi.

“Sepatutnya mereka dikenakan caj tambahan mengikut jam, bukan itu sahaja, mereka turut dikesan menjual arak bebas cukai dan tidak membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan memanipulasi sistem tersebut, Ini semua menyebabkan kerugian kepada kerajaan sedangkan mereka terus mengaut untung,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu, bagi mengaut keuntungan berlipat ganda termasuk menarik pengunjung, banyak pemilik kelab malam dan KTV yang berani menawarkan khidmat seks termasuk menjual dadah di premis mereka.

“Ini taktik mereka untuk menarik lebih ramai pengunjung pada masa sama membuka ruang kepada kegiatan rasuah bagi melindungi kegiatan haram mereka itu.

“Di sini kita melihat pemilik ini menjadi kaya raya melalui jenayah 'ekonomi’ serta jenayah berat yang akhirnya bukan sahaja merugikan kerajaan malah merosakkan institusi masyarakat negara ini,” jelasnya.