Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan selepas membasuh badan dan pakaiannya di dalam stor berkenaan yang terletak kira-kira 800 meter dari rumah mangsa di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang di sini pada pukul 10.30 pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa, Ong Tun Hang, 58 yang juga seorang mekanik ditemukan mati di ruang tamu rumahnya dengan beberapa kesan tikaman menggunakan senjata tajam pada bahu dan rusuk kiri.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ah­mad berkata, ketika ditahan, suspek berada dalam keadaan buntu dan tidak agresif serta mendakwa menikam seorang lelaki di leher, namun tidak mengaku Tun Hang adalah bapanya.

Menurutnya, suspek difahamkan mempu­nyai masalah psikologi sejak berumur 16 tahun dan pernah dihantar untuk dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Hasil siasatan awal, sebelum kejadian berlaku pertengkaran antara dua beranak itu kerana mangsa tidak membenarkan suspek keluar dari rumah,” katanya di sini hari ini.

Alzafny memberitahu, berda­sarkan saksi kejadian iaitu seorang lagi anak mangsa, pertengkaran berlaku pada kira-kira pukul 8.30 malam tadi sebelum suspek bertindak mengurung diri dalam biliknya.

“Namun pada pukul 1 pagi, pertengkaran berlaku sekali lagi apabila suspek cuba keluar dari rumah sebelum dihalang bapa­nya.

“Berang dengan tindakan bapa, suspek mengambil sebilah pisau di dapur dan kemudian menikam mangsa,” ujarnya.

Tambahnya, selepas menikam mangsa, suspek melarikan diri manakala mayat bapanya ditemukan oleh kakaknya di rumah berkenaan.

“Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut dan akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” ujarnya yang memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan reaksi daripada ahli keluarga mangsa tidak berjaya ke­rana mereka enggan ditemu bual.