Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai terlebih dahulu terlibat dalam pergaduhan dengan bekas teman wanitanya di sebuah tadika yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kabin itu.

Difahamkan, bekas teman wanita suspek yang berusia 28 tahun kemudian segera menghubungi polis menyebabkan suspek segera melarikan diri dan bersembunyi di bawah sebuah kontena kabin.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Zul Akhman Othman berkata, sepasukan 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu.

“Sebaik sahaja tiba kami mendapati seorang lelaki sedang menyorok di bawah kabin itu yang agak sempit dan hanya mempunyai ruang setinggi 7 sentimeter.

“Dengan bantuan tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), pihak kami berusaha memujuk dan berjaya membawa lelaki itu keluar kira-kira pukul 1.10 petang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dipercayai lelaki itu bertindak demikian kerana berada di bawah pengaruh dadah berikutan hasil ujian air kencing mendapati dia positif mengambil syabu. - UTUSAN ONLINE