Dalam kejadian pukul 12.06 tengah hari itu, mangsa berusia 43 tahun menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang individu menggunakan nama seorang wanita, Syafiqah yang berminat memasang alat penapis air dan udara.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa diberitahu bahawa dia perlu menaiki kereta dipandu seorang pegawai yang akan mengambilnya di Horizon Hills, untuk dibawa ke pejabat wanita berkenaan bagi pemasangan produk tersebut.

Katanya, setibanya di lokasi yang dimaklumkan, ibu kepada tiga anak itu berjumpa dan suspek mengaku sebagai pegawai di bawah seliaan ‘wanita’ berkenaan sebelum meminta mangsa menaiki kereta dipandunya jenis Perodua Myvi.

“Sepanjang perjalanan, mangsa tidak pasti kawasan yang dilalui sebelum suspek secara tiba-tiba memberhentikan kereta di tepi jalan sekitar Kampung Sungai Melayu dan memegang tangannya.

“Apabila mangsa cuba mengelak, suspek mengeluarkan sebilah pisau (cutter) lalu mengacukan ke muka mangsa. Suspek turut mengambil pemutar skru daripada kerusi bahagian belakang untuk menakutkan mangsa. Disebabkan ketakutan, mangsa terpaksa mengikut kehendak suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dzulkhairi berkata, kira-kira 5 petang, suspek menghantar mangsa kembali ke tempat dia meletakkan keretanya selepas wanita itu menggesa lelaki tersebut supaya segera menghantarnya pulang sebelum mangsa terus ke balai polis membuat laporan.

Katanya, suspek berusia 33 tahun itu kemudian ditahan polis hanya kira-kira 90 minit selepas mangsa membuat laporan polis di parkir Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini apabila polis terserempak kereta dimaksudkan dan mendapati suspek dalam kereta dan kelihatan mencurigakan.

“Pemeriksaan dalam kereta menemui pemutar skru, dua pisau (cutter) sebelum merampasnya, manakala kunci Perodua Myvi dan kereta itu turut dirampas. Ujian saringan air kencing suspek mendapati dia negatif dadah.

“Suspek didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan pada 2012 dan operator kilang ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak mengenali suspek dan ini adalah kali pertama dia berjumpa dengan suspek.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menjalani pemeriksaan pakar dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE